Monday 19 December 2011


PELAJAR PERLU KETEPI ''BUDAYA DISUAPKAN'': ILIYAS

KOTA KINABALU: Para pelajar digesa supaya mengetepikan ‘budaya disuapkan’ (Spoon-Feeding Culture) iaitu terlalu mengharap guru menyediakan semua ilmu pendidikan dalam pembelajaran.

Mayor Bandaraya Datuk Iliyas Ibrahim berkata, sebaliknya para pelajar seharusnya lebih bijak, berfikiran kreatif dan berdikari dalam memperolehi maklumat untuk meningkatkan pengetahuan sendiri.

“Saya juga berharap agar para pelajar tidak mengamalkan ‘budaya pop’ yang hidup tanpa fokus dan tanpa arah hidup yang jelas.

“Anda (para pelajar) adalah penggerak masa depan untuk negeri dan negara ini yang diharap dapat memberi sumbangan ke arah mencapai wawasan 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Graduasi pelajar Institut Sinaran, di dewan Sekolah Menengah Tshun Tsin, di sini, kelmarin.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Hakka Kota Kinabalu merangkap Pengerusi Lembaga Sekolah Institut Sinaran dan Sekolah Menengah Tsung Tsin Sabah Datuk Yong Kyok Ming, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sinaran Lim Khoon Chin, para pelajar dan ibu bapa pelajar.
Pada majlis itu seramai 168 pelajar berjaya menamatkan pengajian dalam A Level Sains, A Level Perdagangan dan Diploma Perdagangan masing-masing menerima sijil.

Mengenai pendidikan, Iliyas menyeru pelajar tempatan supaya menghargai peluang belajar ke peringkat lebih tinggi termasuk peringkat kedoktoran.
“Ini sejajar dengan era globalisasi yang memberi penekanan kepada ilmu pengetahuan terutamanya di kalangan generasi muda dan selaras dengan hasrat kerajaan untuk melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat bagi membolehkan mereka menghadapi pelbagai cabaran dalam perkembangan teknologi baru,” katanya.

Dalam hal ini, beliau menghargai sumbangan yang disalurkan oleh Persatuan Hakka Kota Kinabalu yang telah memainkan peranan penting bagi memastikan pengwujudan Institut Sinaran di Sekolah Menengah Tshung Tsin.

Institut Sinaran telah diwujudkan sebagai pusat terbesar pusat pengajian A Level bagi Malaysia Timur. Pada tahun 2008, institut itu juga terpilih sebagai pusat pengajian Matrkulasi Australia Selatan untuk Malaysia Timur.

Sementara itu, Yong berkata, majlis graduasi itu merupakan satu sejaran bagi institut berkenaan yang menyaksikan kumpulan pertama pelajar yang berjaya menamatkan pengajian sejak Institut Sinaran dipindahkan ke Sekolah Menengah Tshung Tsin.

“Saya berharap para pelajar dapat berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai impian, seterusnya berjaya dalam hidup.

“Tiada yang mustahil sekiranya anda komited dan memberi tumpuan terhadap pelajaran. Oleh itu saya berharap para pelajar dapat mengurus masa dengan lebih bijak serta mengetepikan ‘pencuri masa’ seperti melayari internet berlebihan, masa yang panjang bersembang dalam talian, facebook dan bergayut di telefon,” katanya.

Dipetik dari www.newsabahtimes.com.my

No comments:

Post a Comment

a